BERAPA gelas anda minum air setiap hari? Dua, tiga, empat...atau lebih? Soalan tersebut memang kerap kita dengar terutama ketika berjumpa doktor atau pakar pemakanan.

Mungkin ada yang menganggap ia soalan remeh tapi sebenarnya ia amat penting untuk mengingatkan anda supaya minum lebih banyak air.

Kita selalu memperkatakan bahawa asas kepada kesihatan yang baik ialah diet makanan yang seimbang, senaman yang kerap, rehat, sentiasa gembira dan ketawa.

Pengambilan air juga merupakan salah satu daripada asas utama ini. Jika mahukan tubuh sihat, mungkin sudah tiba masanya anda memikirkan saranan pakar iaitu minum enam hingga lapan gelas besar air sehari. Fakta-fakta di bawah mungkin membuatkan anda mula memikirkannya.

Mengapa tubuh memerlukan ‘bekalan’ air baru setiap hari?


Antara 55 peratus hingga 75 peratus berat badan adalah air. Air bahan kedua terpenting selepas oksigen yang diperlukan oleh tubuh. Berikut adalah antara sebab kenapa tubuh memerlukan air.

-Ia membantu penghadaman, penyerapan dan penyingkiran makanan yang dimakan.
-Ia membantu perkumuhan bahan buangan dari usus dan buah pinggang.
-Untuk menyelaraskan suhu badan 24/7
-Memberi kelancaran pergerakan sendi dan membran
-Darah merupakan sistem pengangkutan yang berfungsi ‘mengagihkan’ nutrien makanan ke seluruh tubuh. Hampir 92 peratus kandungan darah ialah air.
-Rembesan tubuh dan cecair penghadaman hampir keseluruhannya adalah air (sistem penghadaman menghasilkan hampir 1.7 liter air liur setiap hari)

Disebabkan fungsi-fungsi yang penting ini, dalam keadaan normal tubuh memerlukan antara satu hingga dua liter air setiap hari supaya ia berfungsi secara optimum. Jumlah ini juga bergantung kepada saiz, diet, sejauh mana individu tersebut mengamalkan gaya hidup aktif dan keadaan cuaca persekitaran.

Senarai di bawah menunjukkan bagaimana tubuh boleh kehilangan air.

-Melalui pernafasan, perpeluhan dan penyingkiran (najis dan air kencing) tubuh anda kehilangan 1.7 liter setiap hari.
-Dalam cuaca panas, perpeluhan meningkat jadi lebih banyak air diperlukan bagi membantu menyelaraskan suhu bandan dan menjadikan anda berasa selesa.
-Ketika cuaca sejuk, lembapan tambahan hilang melalui pernafasan.
-Bagi setiap jam aktiviti fizikal atau bersenam, anda memerlukan tambahan 1-3 gelas air.
-Sistem haba berpusat memberi kesan kekeringan, jadi anda perlu minum lebih banyak air atau kurangkan suhunya.

Tahukah anda?

Air adalah penahan selera secara semula jadi. Kekurangan air boleh membawa kepada makan berlebihan, ini kerana otak tidak dapat membezakan antara lapar dan dahaga, jadi apabila anda fikir anda berasa lapar kemungkinan tubuh sebenarnya memerlukan air. Jadi minum segelas besar air sebelum anda makan keran itu yang mungkin diperlukan oleh tubuh bukannya makanan seperti otak anda fikirkan.

Adakah anda penyahhidratan (dehydaration)

Ramai yang tidak menyedari tubuh sedang mengalami penyahhidratan dan. Di bawah adalah simptom-simptom menunjukkan tubuh sedang ‘dahagakan’ air.

-Pening - Salah satu fungsi utama air ialah membuang toksin dari tubuh. Otak manusia mengandungi 75 peratus air, jadi walaupun mengalami sedikit penyahhidratan boleh menyebabkan pening.
- Letih/Lemah tumpuan - Jika tubuh mengandungi terlalu banyak toksin dan tidak cukup air untuk mengeluarkannya, anda akan berasa kurang bertenaga kerana tubuh bergelut dengan toksin.
-Sembelit - Aiar melawaskan proses penyingkiran najis, jadi minumlah air secukupnya untuk melancarkan penyingkirannya.
-Mengurangkan pengeluaran air kencing/Airkencing kotor - Buah pinggang adalah penapis bahan-bahan buangan dari darah. Hampir 180 liter air dikitar semula oleh buah pinggang setiap hari. Proses ini bergantung kepada bekalan air segar yang secukupnya, tanpanya pengeluaran air kencing akan berkurangan menyebabkan bahan buangan menjadi lebih pekat menghasilkan kencing kotor.
-Mulut berbau - Jika cecair tidak cukup di dalam mulut untuk membersihkan sisa-sisa makanan, bakteria akan membiak di dalam tekak dan mulut menyebabkan mulut berbau.
-Mulut kering - Air liur merupakan bahan ‘pelincir’ mulut, penyahhidratan mengurangkan jumlah air liur.

Penyahhidratan yang teruk juga menyebabbkan:


-Ketegangan otot - Ini berlaku apabila tidak cukup oksigen sampai ke otot melalui pembuluh darah disebabkan tubuh tidak cukup air.
-Kulit - Kulit yang tidak cukup air akan hilang keanjalan. Ujinya dengan mencubit kulit di belakang tangan ia akan terlepas dengan serta merta.
-Mata - Mata cengkung dan kulit di sekeliling mata lembah menandakan penyahhidratan yang teruk.

Jadikan pengambilan air sebagai habit

Matlamat anda sekarang ialah untuk minum air secara kerap sepanjang hari. Bagi beberapa hari pertama mungkin anda akan berasa kerap ke tandas, ini kerana tubuh belum biasa dengan keadaan itu dan memerlukan masa untuk penyesuaian. Anda juga akan berasa berat badan berkurangan memandangkan simpanan air dalam tubuh menjadi berlebihan dan secara beransur-ansur anda melepaskannya.
COLI longgar dan papan pemotong yang mempunyai 50 kali bakteria berbanding tempat duduk tandas - apa lagi barangan keperluan yang perlu ditukar berdasarkan kekerapan sepatutnya.

Berus rambut

Tukar: Cuci setiap minggu menggunakan air panas. Tukar apabila bulu-bulu berus rosak.
Sebab: Kajian mendapati 1mm folikel rambut boleh menyumbang kepada 50,000 gem dan berus rambut boleh menjadi punca keadaan tersebut. Penyelidik dari The Institute Of Trichologists mendapati, berus mengumpul lebihan produk-produk rambut, menjadikannya melekat dan menarik kekotoran.

Kasut joging

Tukar: Setiap 250-500 batu.
Sebab: Berlari menggunakan kasut lama mengundang risiko cedera dan jangkitan. kajian terbaru menunjukkan kulat di dalam kasut sukan lama adalah 100 kali lebih banyak berbanding di dalam tandas yang telah dipam.

Berus gigi

Tukar: Setiap tiga bulan.
Sebab: Kajian menunjukkan berus gigi yang digunakan lebih tiga bulan kurang berkesan. Virus seperti hepatitis B dan C boleh merebak menerusi perkongsian berus gigi.

Coli


Tukar: Setiap tiga bulan atau selepas 30 hingga 40 cucian bagi baju dalam sukan. Elak menggunakan bahan pelembut fabrik. Bahan tersebut boleh merosakkan lycra pada coli.

Sebab: Payu dara dibentuk oleh tisu-tisu lemak dan disokong oleh ligamen Cooper. Lantunan berulang disebabkan coli yang longgar boleh menyebabkan payu dara mengendur. Kebiasaannya penyokong yang dipasang pada coli akan menjadi kurang berkesan selepas tiga bulan.

Penyelidik daripada Jabatan Sains Latihan dan Sukan Universiti Portsmouth mendapati, payu dara wanita akan melantun sehingga 135 meter atau hampir empat kilometer semasa maraton.

Bantal

Tukar: Cuci setiap tiga bulan sekali atau tukar setiap enam ke 12 bulan.
Sebab: Selepas enam bulan 10 peratus daripada bantal anda terdiri daripada hama, najis hama dan juga peluh. Apabila bernafas, kandungan ini akan memudahkan seseorang itu terdedah kepada lelah, rinitis dan resdung.

Pisau pencukur


Tukar: Selepas dua atau tiga kali cukuran.
Sebab: Geseran di antara kulit dan pisau pencukur boleh menyebabkan ruam cukuran. Jangan berkongsi pisau pencukur untuk mengelak jangkitan pada kulit.

Tilam


Tukar: Setiap lapan ke 10 tahun
Sebab : Proses perkumuhan semasa tidur menyebabkan keadaan lembab pada tilam. Semestinya keadaan itu merangsang kewujudan hama yang boleh merangsang asma dan juga masalah kulit terutama pada bahagian luka.

Tuala mandi

Tukar: cuci seminggu sekali pada 60°C dan jangan kongsi tuala.
Sebab: Jangkitan, terutama masalah kulit mudah merebak menerusi tuala.

Papan pemotong


Tukar: Sental dan nyah jangkitan setiap kali selepas digunakan. Tukar apabila permukaan papan pemotong semakin sukar dibersihkan.

Sebab: Kebanyakan papan pemotong menjadi rumah kepada bakteria 50 kali lebih daripada tempat duduk tandas. Apabila permukaan papan pemotong tidak rata dan kasar, adalah sukar untuk memastikan kebersihannya.
PERUT adalah pusat kebanyakan penyakit. Pakar perubatan sependapat mengatakan ubat yang paling mujarab untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengawal makan. Malah Nabi Muhammad sendiri pernah bersabda yang bermaksud, “Setiap penyakit disebabkan oleh banyak makanan dan setiap ubat disebabkan oleh sedikit makan.”

Sememangnya terlalu banyak makan boleh mendatangkan pelbagai masalah seperti sakit perut, kembung, sembelit, rasa mual, muntah atau cirit birit. Kesemuanya ini berpunca daripada makan dan tabiat makan kita. Sindrom Usus Rengsa ini menandakan berlaku ketidakseimbangan organisasi dalam usus kita.

Ada 10 simptom yang perlu diingat kerana ia menandakan kita mengalami masalah pencernaan (aktiviti enzim) iaitu:

-Banyak angin (lebih kerap kentut daripada biasa)
-Kembung
-Cepat penat
-Mudah berparut
-Keradangan kulit
-Berat badan bertambah dengan cepat
-Sering sendawa
-Pedih ulu hati
-Makanan tidak hadam
-Keradangan lain

Antara cara yang boleh diamalkan untuk menggalakkan kesihatan saluran pencernaan kita ialah:

Jangan makan terlalu banyak. Walaupun sudah jadi budaya kita untuk makan setiap kali keluar atau berjumpa kawan, kawallah makanan yang masuk ke dalam perut.

Kunyah makanan hingga betul-betul lumat. Kunyah makanan perlahan-lahan (sekurang-kurangnya 30 kali, dan ada hadis yang menyarankan 44 kali kunyah) sebelum makanan ditelan. Ada rahsia di sebalik saranan ini kerana makanan yang dikunyah hancur mengandungi lebih banyak enzim dari air liur dan ia sebenarnya memudahkan proses pencernaan.

Minum sebelum atau selepas makan. Elakkan minum ketika makan kerana ia akan mencairkan enzim pencernaan dalam perut. Proses pencernaan akan berlaku lebih sempurna dalam keadaan perut yang berasid. Jika terpaksa, minumlah dalam tegukan yang kecil tetapi elakkan minuman berkarbonat, soda atau minuman berais kerana menghalang pencernaan. Sebaiknya minum 10 minit sebelum makan atau sekurang-kurangnya sejam selepas makan.

Amalkan jadual ke tandas yang tetap setiap hari. Ia secara tidak langsung memberi laluan kepada badan menyingkirkan bahan toksin secara berkala dan memperbaiki persekitaran usus.

Makan lebih banyak sayur-sayuran mentah (termasuk ulam dan salad) serta buah-buahan kerana ia mengandungi banyak bahan yang boleh melancarkan proses pencernaan.

Minum air secukupnya. Air menjadi bahan pengantara yang terbaik dalam badan. Badan yang tidak cukup air secara automatik akan merangsang fungsi enzim dan mengganggu proses penghadaman. Malah anda lebih sukar ke tandas jika tidak cukup air, walaupun banyak makan sayur-sayuran atau buah-buahan.

Bersenam selalu. Senaman boleh merangsang badan mencapai fungsi sebenar dan menggalakkan proses pencernaan.

Elakkan diri daripada tekanan. Tekanan akan merangsang enzim untuk menjalankan semua fungsi metabolik dan jika ia berterusan, boleh mendatangkan masalah kepada badan.

Makan produk tenusu kultur (contohnya dadih dan keju) atau probiotik kultur tempatan.




1. APAKAH ITU POLIKARBONAT?
Polikarbonat adalah plastik yang digunakan dalam pembuatan botol susu bayi.

2. APA ITU BISPHENOL A (BPA)?
BPA ialah bahan kimia industri yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar.

3. BAGAIMANA MENGENALI BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Botol susu bayi polikarbonat ini boleh dikenalpasti melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi seperti berikut:


Nombor 7 Pla_7.jpg

Nombor 7 dan PC Pla_7PC.jpg

Nombor 7 dan ‘other’ Pla_7ot.jpg

Botol susu bayi yang bebas BPA biasanya dilabelkan dengan perkataan ‘BPA free’ atau ‘Bebas BPA’.


4. APAKAH KESAN BPA KE ATAS KESIHATAN MANUSIA?
BPA diketahui boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon yang menyebabkan gangguan sistem fungsi tubuh.


5. BAGAIMANAKAH BAYI BOLEH TERDEDAH DENGAN BPA MELALUI BOTOL SUSU POLIKARBONAT?
BPA boleh berpindah daripada botol susu polikarbonat ke dalam susu bayi seperti berikut:
Permukaan dalam botol susu bayi yang calar atau rosak.
Air panas dimasukkan terus ke dalam botol susu bayi




6. APAKAH LANGKAH PROAKTIF KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA DALAM MENANGANI ISU INI?
KKM mengambil keputusan untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA berkuatkuasa 1 Mac 2012.
KKM memberikan tempoh masa satu (1) tahun kepada pihak industri untuk menghabiskan botol susu bayi polikarbonat yang sedia ada di pasaran tempatan.
KKM dengan kerjasama agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Penerangan akan membuat hebahan secara meluas kepada kumpulan sasar serta mengedarkan bahan-bahan pendidikan kesihatan berkaitan perkara ini.




7. MENGAPA KKM MASIH MEMBENARKAN PENJUALAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT SEHINGGA SATU (1) TAHUN WALAUPUN KESANNYA KE ATAS KESIHATAN MANUSIA TELAH DIKETAHUI?
Tindakan pengharaman penjualan botol susu bayi polikarbonat ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat terutamanya untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi seperti bayi.
KKM memberikan masa perubahan (transition period) secara berperingkat kepada semua pihak untuk ‘phasing out’ botol susu polikarbonat yang mengandungi BPA. Tindakan ini adalah selari dengan tindakan negara-negara lain yang telah mengharamkan BPA.


8. KENAPAKAH PENGHARAMAN INI DIKENAKAN KE ATAS BOTOL SUSU BAYI SAHAJA?
Tindakan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang menunjukkan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi seperti bayi.


9. APAKAH LANGKAH BERJAGA-JAGA SEKIRANYA PENGGUNA MASIH MENGGUNAKAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Pengguna disarankan mengikut langkah berjaga-jaga seperti berikut :


Steril botol susu bayi polikarbonat mengikut arahan pengendalian yang terdapat pada label atau yang diberikan oleh pengeluar sekiranya ada. Jika tiada, pengguna perlu merendam botol susu bayi polikarbonat dalam air yang mendidih selama 5 hingga 10 minit.
Elakkan menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus yang lembut bagi mengelakkan permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan sekiranya terdapat kesan calar atau rosak, botol susu perlu diganti. Sekiranya tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap 6 bulan.
Namun begitu, pengguna juga boleh membuat pilihan awal dengan menukarkan penggunaan botol susu bayi polikarbonat kepada botol susu bayi yang bebas BPA mengikut kemampuan masing-masing.


10. APAKAH CARA TERBAIK UNTUK PENGGUNA SEKIRANYA MENGGUNAKAN AIR PANAS UNTUK MENYEDIAKAN BANCUHAN SUSU DALAM BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Bancuhan susu boleh disediakan terlebih dahulu di dalam bekas lain yang bersih dan selamat.
Sebagai contoh, bagi bancuhan susu sebanyak 150ml, masukkan lebih kurang 100ml air panas ke dalam bekas lain yang bersih dan selamat dan tambahkan susu mengikut sukatan. Bila bancuhan susu menjadi suam, masukkan ke dalam botol susu bayi polikarbonat dan tambahkan air suam sehingga menjadi 150ml.


11. APAKAH ALTERNATIF BOTOL SUSU BAYI YANG TERDAPAT DI PASARAN?
Terdapat pelbagai alternatif botol susu bayi di pasaran seperti yang diperbuat daripada polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA) kaca dan lain-lain.


12. APAKAH NEGARA-NEGARA YANG TELAH MELARANG PENJUALAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Negara-negara yang telah mengambil langkah awal mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand dan negeri New York di Amerika Syarikat. Perkembangan terkini adalah pengumuman pengharaman botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA oleh pihak Kesatuan Eropah.

13. APAKAH TINDAKAN YANG PERLU DIBUAT OLEH PENGGUNA SELEPAS 1 MAC 2012?
Walaupun tarikh penguatkuasaan ke atas pengharaman botol susu bayi polikarbonat di pasaran adalah pada 1 Mac 2012, pengguna yang masih menggunakan botol susu bayi polikarbonat di rumah perlu memeriksa keadaan botol susu tersebut dan sekiranya tiada calar atau rosak, ianya masih boleh digunakan mengikut panduan KKM. Jika ada calar atau rosak, pengguna perlu menukar botol susu bayi polikarbonat tersebut kepada botol susu yang bebas BPA.


14. ADAKAH PUTING SUSU BAYI MENGANDUNGI BPA?
Tidak. Puting susu bayi biasanya diperbuat daripada bahan seperti silikon dan getah yang tidak mengandungi BPA.


15. BAGAIMANA KEADAAN PENGGUNA YANG PERNAH ATAU TELAH LAMA MENGGUNAKAN BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT?
Tindakan pengharaman penjualan botol susu bayi polikarbonat ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat terutamanya untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi seperti bayi. Tindakan pengharaman ini juga diambil adalah berdasarkan penemuan dan perkembangan terkini.
Walau bagaimanapun, pengguna yang masih menggunakan botol susu bayi polikarbonat di rumah perlu memeriksa keadaan botol susu tersebut dan sekiranya tiada calar atau rosak, ianya masih boleh digunakan mengikut panduan KKM. Jika ada calar atau rosak, pengguna perlu menukar botol susu bayi polikarbonat tersebut kepada botol susu yang bebas BPA bagi mengurangkan pendedahan terhadap BPA.


16. ADAKAH PERKAKASAN DAN BEKAS MAKANAN / MINUMAN BAYI SEPERTI PINGGAN, SUDU DAN CAWAN PLASTIK JUGA MENGANDUNGI BPA?
Tidak. Perkakasan dan bekas makanan / minuman bayi biasanya diperbuat daripada bahan yang tidak mengandungi BPA seperti silikon, polypropylene, dan stainless steel.


17. ADAKAH BOTOL SUSU BAYI POLIKARBONAT MENGANDUNGI MELAMIN YANG BOLEH BERPINDAH KE DALAM SUSU?
Tidak. Botol susu bayi polikarbonat tidak mengandungi melamin.


18. APAKAH CONTOH BEKAS MAKANAN ATAU MINUMAN LAIN YANG DIPERBUAT DARIPADA POLIKARBONAT YANG MENGANDUNGI BPA SELAIN DARIPADA BOTOL SUSU BAYI?
Bekas makanan atau minuman yang biasanya diperbuat daripada polikarbonat adalah seperti botol menyimpan air (tumbler) dan bekas air guna semula.


19. KENAPA KKM TIDAK MENGHARAMKAN BEKAS MAKANAN ATAU MINUMAN LAIN YANG DIPERBUAT DARIPADA BAHAN PLASTIK POLIKARBONAT? APAKAH TINDAKAN KKM SETERUSNYA?
Berdasarkan kepada pengetahuan masa kini dan bukti saintifik dari negara maju lain, tiada kesan terhadap kesihatan. Sehubungan itu tiada keperluan untuk mengambil sebarang tindakan pengharaman ke atas bekas makanan atau minuman lain yang diperbuat daripada polikarbonat selain daripada botol susu bayi buat masa ini.


Semua bekas makanan atau minuman lain yang diperbuat daripada polikarbonat perlu mematuhi Malaysian Standard MS 2234:2009 – Plastic Materials and Articles Intended to Come into Contact with Food, di mana specific migration limit (SML) bagi BPA adalah pada paras 0.6 mg/kg (sama seperti negara EU).


KKM akan terus memantau produk-produk bekas makanan dan minuman lain yang diperbuat daripada polikarbonat di pasaran tempatan serta mengikuti perkembangan saintifik antarabangsa dari masa ke semasa berkaitan isu BPA ini.
PETUA MERANGSANG SUPAYA ANAK CERDIK


Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama... jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya). 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.

1-BERTENTANG MATA

Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.

2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA

Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.

3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN

Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..

4-JELIRKAN LIDAH

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.

5-HASILKAN BUKU BINATANG
Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6-GELETEKLAH BAYI ANDA

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.

7-TUNJUKKAN PERBEZAAN

Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

8-BERKONGSI PANDANGAN

Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin...."). Mainkan lagu Beethoven atau Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11-SENTUH DAN RASA
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

12-PERGI MEMBELI-BELAH
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.

13-BERI KATA KUNCI

Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.

14-BERI KEJUTAN

Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.

15-SEDIAKAN BANYAK TISU

Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16-BACA BUKU
Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.

17-MAIN CAK-CAK

Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18-JANGAN LUPA REHAT
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19-MAIN DENGAN WARNA

Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.

20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21-ANGKATKAN SAHAJA
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22-BIAR DIA MEMBEBEL

Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23-LATIHAN MENEKA

Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24-BINA LALUAN HALANGAN

Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25-IKUT RENTAKNYA

Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.

26-BUAT MUKA LAWAK

Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27-RASA SEKELILING ANDA

Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.

28-CERITAKAN KISAH DONGENG

Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.

29-BAYANGAN WAJAH

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.

30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS

Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31-GOYANGKAN BADAN

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.

32-JADILAH TAMAN PERMAINAN

Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33-KIRA SEMUANYA

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA

Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?") sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak kucing putih?")

35-TUTUP TV

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya.

36-TUKAR PEMANDANGAN

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda,buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya).

38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA

Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39-MAIN HUJAN

Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.

40-MENANGKAP SERANGGA

Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

41-BERGURAU-SENDA

Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42-MAIN DENGAN PAKAIAN

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

43-AJAR TENTANG ISIPADU
Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.

44-HASILKAN ALBUM KELUARGA

Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.

45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna.
Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.

46-PERGI KE PERPUSTAKAAN

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47-CONTOHI CARA SESAME STREET

Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.

48-MAIN BERULANG-ULANG

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.

49-MAIN "TIRU-MENIRU"
Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN

Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.
1. Cium tangan suami dan dahi isteri setiap kali sebelum berpisah ke tempat kerja masing-masing.

2. Jika berpisah lebih dari sehari seperti untuk tugasan luar daerah, tambah rutin harian tadi dengan pelukan dan ciuman di bibir.

3. Walau sesibuk mana sekali pun, luangkan masa untuk menelefon pasangan sekurang-kurangnya sekali walau sekadar untuk bertanya apa yang sedang dilakukan.

4. Sentiasa ucapkan kata-kata sayang seperti I love you sepenuh hati sebelum keluar kemana-mana, menamatkan perbualan di telefon dan sebelum tidur.

5. Sentiasa mencari peluang untuk makan tengah hari bersama kerana pastinya ia tiada gangguan anak-anak jika pada hari berkerja.

6. Amalkan bertanya apa yang berlaku sepanjang hari selepas pulang dari kerja sebagai tanda mengambil berat dan memberi peluang pasangan meluahkan perasaan.

7. Luangkan masa untuk berbual tentang apa sahaja dari isu rumah tangga hinggalah politik semasa sebelum tidur.

8. Mudah berbaik jika berlaku sebarang pertelingkahan, jangan biar berlarutan walau untuk satu jam sekali pun apatah lagi berhari-hari.

9. Temani pasangan semasa menonton rancangan kegemaran mereka walau sambil membaca akhbar misalnya kerana apa yang penting ada berada disisi.

10. Jangan sesekali berpisah tempat tidur walau anak sudah berderet atau usia sudah meningkat kerana ia adalah salah satu amalan penting untuk mengeratkan kasih sayang.

11. Amalkan sembahyang berjemaah semasa di rumah, berdoa bersama serta bersalam-salaman selepasnya.

12. Biasakan bergilir gelas atau pinggan semasa makan serta tidak segan atau geli untuk menghabiskan makanan atau minuman isteri atau suami.

13. Sesekali buatlah kejutan seperti membeli hadiah atau kad untuk peristiwa tertentu, memakai pakaian dalam yang seksi atau apa sahaja yang anda tahu pasangan pasti menyukainya.

14. Senda gurau dalam rumah tangga amat penting, ceritalah sesuatu yang kelakar, teka teki atau apa sahaja yang membolehkan anda ketawa bersama.

15. Sentiasa kenang pengorbanan masing-masing seperti susah payah isteri melahirkan anak dan suami yang berkerja keras menyara keluarga.

16. Sesekali tukar gaya penampilan agar ada kelainan serta untuk mengelakkan pasangan merasa jemu.

17. Apa sahaja masalah yang timbul, berterus terang dan berbincang bersama untuk menyelesaikannya.

18. Sentiasa menyimpan tekad untuk menjadi suami/isteri yang baik dalam rumah tangga bahagia kerana fikiran positif akan memudahkan anda mencapai matlamat tersebut.

19. Jika amalan-amalan di atas tidak pernah dilakukan sehingga anda membacanya hari ini, jadikanlah ia sebagai titik permulaan untuk melakukannya tanpa rasa ragu dan malu.
Sewaktu mengandung, sebaik-baiknya kita membaca surah-surah di dalam Al-Quran untuk dijadikan amalan harian.

Ia juga baik diamalkan sewaktu membesarkan anak-anak.

1. Surah Yusuf: Utk mendapatkan anak yang comel/cantik

2. Surah Luqman: Utk mendapatkan anak yang bijak/pintar/pandai

3. Surah Maryam: Utk mendapatkan anak yang soleh

4. Surah An-Nahl ayat 78: Utk memudahkan bersalin (dengan izin Allah SWT)

5. Surah Al-Fatihah

6. Surah Yaasin

7. Surah Ayatul Kursi

8. Surah Al-Araaf ayat 189

9. Surah Al-Imran ayat 38: Doa memohon anak yang baik

10. Surah Al-Imran ayat 8-9: Doa memohon rahmat

11. Surah Ibrahim ayat 40: Doa agar anak tetap mengerjakan solat

12. Surah Al-Baqarah ayat 128: Doa agar anak patuh kepada Allah SWT

13. Surah Yassin ayat 22 - 23: Untuk menjaga aqidah/memberi hidayah kepada anak

14. Surah As-Sajdah ayat 7-9: Doa agar anak menjadi orang yang soleh dan baik

15. Surah Al-Furqan ayat 74: Doa agar dikurniakan anak yang menyejukkan/menyenangkan hati ibu bapa/doa untuk mendisiplinkan anak/doa untuk kebahagiaan sekeluarga.

************************************************************************************

Untuk mudahkan anak-anak menerima pelajaran, suruh anak-anak mengamalkan bacaan surah Al-Insyirah ayat 1 - 8 (Alam Nasyrah) dan surah Al-Alaq (Iqra') dalam solat Subuh.

Selain itu, hafal serta amalkan surah An-Nur ayat 30 untuk terangkan hati, insya-Allah.

SURAH AL-HIJ'R (Batu Gunung)
Barangsiapa membaca 3 ayat yang terakhir dari surah ini ke atas perempuan yang selalu anak kandungannya gugur, nescaya anak kandungannya itu akan terselamat.

SURAH YUNUS (Yunus)
Barangsiapa membaca ayat 31 dari surah ini ke atas perempuan yang hamil, nescaya ia melahirkan anak dalam kandungannya itu dengan selamat.

SURAH YUSUF (Yusuf)
Barangsiapa membaca ayat 68 dari surah ini, nescaya Allah akan mengurniakan kesolehan kepada anak-anaknya.

Barangsiapa membacanya akan dimurahkan rezekinya dan diberikan kemuliaan kepadanya.

Barangsiapa membaca ayat 64 dari surah ini, ia akan terhindar dari kepahitan dan kesukaran hidup.

SURAH IBRAHIM (Ibrahim)

Barangsiapa membaca ayat-ayat 32 hingga 34 dari surah ini, nescaya anak-anaknya akan terhindar dari perbuatan-perbuatan syirik dan bida'ah.

SURAH MARYAM (Maryam)
Barangsiapa membacanya, nescaya akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

SURAH AS-SAJDAH (Sujud)

Barangsiapa membaca ayat-ayat 7 hingga 9 dari surah ini ke atas kanak-kanak yang baru lahir, nescaya ia akan terhindar dari segala penyakit rohani dan jasmani.

SURAH LUQMAN (Luqman)
Barangsiapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari segala penyakit terutama dari penyakit perut.

Barangsiapa membaca ayat 31 dari surah ini, nescaya akan terselamat dari bencana banjir.

Wallahu a'lam.